Bina kaedah jaringan pendidikan Asia Tenggara

MELAKA 25 Okt. - Warga pendidik di Asia Tenggara digesa membina kaedah jaringan yang lebih berkesan dan berkongsi model amalan terbaik untuk merumuskan dasar dan strategi bagi merapatkan jurang gender dalam pendidikan dan menyediakan program pendidikan khas yang lebih berkualiti.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika perkara tersebut tidak diberikan tumpuan, komitmen setiap kerajaan di rantau ini untuk mencapai matlamat membasmi buta huruf menjelang 2015 tidak akan tercapai.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kebanyakan kawasan pendalaman di Asia Tenggara, masih terdapat pelbagai halangan dalam usaha menyediakan pendidikan berkualiti terutama kepada kanak-kanak perempuan.

"Penyelidikan menunjukkan bahawa masyarakat di kawasan pendalaman di rantau ini lebih cenderung menghantar kanak-kanak lelaki ke sekolah berbanding kanak-kanak perempuan.

"Di samping itu, kanak-kanak dengan keperluan khas pula tidak berpeluang mengikuti pendidikan lanjutan dan mendapat khidmat pascasekolah.

"Ini sesuatu yang amat malang kerana kanak-kanak ini memerlukan kemudahan dan khidmat sokongan yang terbaik untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan masyarakat apabila mencapai umur dewasa," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Pusat Serantau Bagi Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) dan bangunan tambahan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini hari ini.

Pembinaan bangunan tambahan tiga blok empat tingkat bernilai RM50 juta mampu menampung kira-kira 2,500 pelatih untuk mempelbagaikan latihan perguruan pendidikan khas di negara ini.

Sempena perasmian itu, dua seminar serantau turut diadakan dengan menumpukan kepada isu Pendidikan Khas dan Pendidikan Kanak-Kanak Perempuan di bawah projek kolaborasi SEAMEO-UNESCO-ASEAN dan Kementerian Pelajaran.

Muhyiddin berkata, seminar yang diadakan menjadi platform terbaik untuk membincangkan masalah dengan terperinci dan mengemukakan cadangan-cadangan bernas untuk mengatasinya.

"Saya berharap kedua-dua seminar ini membolehkan warga pendidik di rantau ini membina jaringan, berkongsi model amalan terbaik dan mencetus idea-idea inovatif.

"Ia penting bagi merapatkan jurang gender dalam pendidikan dan menyediakan program pendidikan khas yang lebih berkualiti," katanya.

Bagi negara ini katanya, kerajaan memberikan tumpuan kesaksamaan gender menerusi pendidikan kaum wanita.

Katanya, penubuhan IPG Perempuan Melayu Melaka pada 1935 adalah antara usaha awal untuk menggalakkan penyertaan kaum wanita dalam kerjaya perguruan dan sekali gus merapatkan jurang gender dalam pendidikan di negara ini.

"Dalam usaha untuk mencapai kesaksamaan gender, Malaysia telah memberi tumpuan pendidikan kepada kaum wanita dan hari ini lebih 65 peratus guru di sekolah rendah dan menengah di Malaysia terdiri daripada guru wanita," katanya.

Muhyiddin turut melahirkan rasa bangga kerana IPG Perempuan Melayu Melaka telah memberikan sumbangan yang besar kepada peningkatan penyertaan kaum wanita dalam kerjaya perguruan.

Mengenai penubuhan SEAMEO SEN beliau berkata, ia adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan khas di negara ini.

Ujarnya, matlamat utama pusat itu ialah untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan memiliki peluang yang sama untuk menikmati hasil pembangunan sosioekonomi.


Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment