Selamat menduduki ujian akhir tahun 2010

Warga SK Pantai Besar mengucapkan selamat maju jaya dalam menduduki peperiksaan akhir tahun 2010.




Bina kaedah jaringan pendidikan Asia Tenggara

MELAKA 25 Okt. - Warga pendidik di Asia Tenggara digesa membina kaedah jaringan yang lebih berkesan dan berkongsi model amalan terbaik untuk merumuskan dasar dan strategi bagi merapatkan jurang gender dalam pendidikan dan menyediakan program pendidikan khas yang lebih berkualiti.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika perkara tersebut tidak diberikan tumpuan, komitmen setiap kerajaan di rantau ini untuk mencapai matlamat membasmi buta huruf menjelang 2015 tidak akan tercapai.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kebanyakan kawasan pendalaman di Asia Tenggara, masih terdapat pelbagai halangan dalam usaha menyediakan pendidikan berkualiti terutama kepada kanak-kanak perempuan.

"Penyelidikan menunjukkan bahawa masyarakat di kawasan pendalaman di rantau ini lebih cenderung menghantar kanak-kanak lelaki ke sekolah berbanding kanak-kanak perempuan.

"Di samping itu, kanak-kanak dengan keperluan khas pula tidak berpeluang mengikuti pendidikan lanjutan dan mendapat khidmat pascasekolah.

"Ini sesuatu yang amat malang kerana kanak-kanak ini memerlukan kemudahan dan khidmat sokongan yang terbaik untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan masyarakat apabila mencapai umur dewasa," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Pusat Serantau Bagi Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) dan bangunan tambahan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini hari ini.

Pembinaan bangunan tambahan tiga blok empat tingkat bernilai RM50 juta mampu menampung kira-kira 2,500 pelatih untuk mempelbagaikan latihan perguruan pendidikan khas di negara ini.

Sempena perasmian itu, dua seminar serantau turut diadakan dengan menumpukan kepada isu Pendidikan Khas dan Pendidikan Kanak-Kanak Perempuan di bawah projek kolaborasi SEAMEO-UNESCO-ASEAN dan Kementerian Pelajaran.

Muhyiddin berkata, seminar yang diadakan menjadi platform terbaik untuk membincangkan masalah dengan terperinci dan mengemukakan cadangan-cadangan bernas untuk mengatasinya.

"Saya berharap kedua-dua seminar ini membolehkan warga pendidik di rantau ini membina jaringan, berkongsi model amalan terbaik dan mencetus idea-idea inovatif.

"Ia penting bagi merapatkan jurang gender dalam pendidikan dan menyediakan program pendidikan khas yang lebih berkualiti," katanya.

Bagi negara ini katanya, kerajaan memberikan tumpuan kesaksamaan gender menerusi pendidikan kaum wanita.

Katanya, penubuhan IPG Perempuan Melayu Melaka pada 1935 adalah antara usaha awal untuk menggalakkan penyertaan kaum wanita dalam kerjaya perguruan dan sekali gus merapatkan jurang gender dalam pendidikan di negara ini.

"Dalam usaha untuk mencapai kesaksamaan gender, Malaysia telah memberi tumpuan pendidikan kepada kaum wanita dan hari ini lebih 65 peratus guru di sekolah rendah dan menengah di Malaysia terdiri daripada guru wanita," katanya.

Muhyiddin turut melahirkan rasa bangga kerana IPG Perempuan Melayu Melaka telah memberikan sumbangan yang besar kepada peningkatan penyertaan kaum wanita dalam kerjaya perguruan.

Mengenai penubuhan SEAMEO SEN beliau berkata, ia adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan khas di negara ini.

Ujarnya, matlamat utama pusat itu ialah untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan memiliki peluang yang sama untuk menikmati hasil pembangunan sosioekonomi.


Sumber : Utusan Malaysia

Pantau pengajaran Bahasa Inggeris

MELAKA 25 Okt. - Kementerian Pelajaran akan mengambil seramai 370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara mulai tahun depan untuk memantau pengajaran bahasa itu di sekolah rendah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengambilan pakar-pakar tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengambilan pakar-pakar itu amat penting memandangkan usaha untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar agak mencabar.

"Kerajaan tidak bimbang untuk memartabatkan Bahasa Melayu memandangkan sebahagian besar guru yang sedang berkhidmat adalah terlatih.

"Apa yang agak mencabar ialah untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris walaupun kita mempunyai jumlah bakal guru yang ramai di Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog program Titipan Naluri bersama guru-guru pelatih dari IPG Melaka, Johor dan Negeri Sembilan di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini hari ini.

Sesi dialog itu diadakan selepas Muhyiddin merasmikan Pusat Serantau Bagi Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) dan bangunan tambahan IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka bernilai RM50 juta.

MBMMBI diperkenalkan oleh kerajaan bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012.

PPSMI didapati gagal mencapai matlamat penguasaan bahasa Inggeris hingga menjejaskan pencapaian pelajar dari luar bandar dalam kedua-dua subjek tersebut.

Bagi tujuan tersebut kata Muhyiddin, penguasaan bahasa Inggeris kepada kira-kira 34,512 guru pelatih di 27 IPG di seluruh negara akan dipertingkatkan untuk pengajaran bahasa itu.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi guru pelatih yang menamatkan pengajian kerana apabila keluar nanti mereka tidak akan menghadapi masalah apabila mengajar.

"Bagi guru-guru yang sedang berkhidmat pula, mereka akan menjalani beberapa kursus khas untuk menguasai bahasa Inggeris.

"Kursus-kursus yang diadakan ini tidak akan menjejaskan pengajaran di sekolah kerana mereka akan mengikutinya sewaktu cuti sekolah," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran akan mengambil langkah perlu untuk menyeimbangkan guru lelaki dan wanita.

Menurut beliau, daripada 34,512 guru pelatih di 27 buah IPG di seluruh negara, terdapat 22,805 guru pelatih wanita dan 11,707 guru pelatih lelaki.

"Jumlah ini tidak seimbang dan untuk jangka panjang kita perlu berikan tumpuan supaya guru pelatih lelaki sama jumlahnya dengan guru pelatih wanita," ujarnya.

Beliau menambah, setakat ini terdapat kira-kira 80,000 permohonan untuk menjadi guru dan menunggu untuk sesi kemasukan baru ke IPG di seluruh negara.


Sumber: Utusan Malaysia


Program Lepasan UPSR 2010

Pada 18 Oktober 2010, murid Tahun 6 telah menjalankan salah satu aktiviti program lepasan UPSR iaitu Jom Memasak. Berikut adalah antara gelagat murid yang sempat diambil semasa menyediakan 4 hingga 5 menu yang ditetapkan dan akan diadili oleh juri-juri. Semasa pemerhatian dijalankan, semua peserta menunjukkan semangat berpasukan bagi menjayakan program ini. Insya Allah, hasil daripada program ini dapat memupuk hobi yang bermanfaat di samping menjadikan ia sebagai salah satu kerjaya mereka di masa hadapan seperti Datuk Chef Wan.









Majilis Sambutan Hari Kanak-Kanak 2010


Perayaannya mempunyai dua objektif utama, iaitu:-

- memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap segala keperluan serta isu penting berkaitan dengan kanak-kanak, di samping menekankan tanggungjawab masyarakat, khususnya ibubapa terhadap pendidikan kanak-kanak yang sempurna
- mengadakan program kegiatan kreatif serta hiburan.


Antara acara yang disediakan adalah seperti berikut:
Acara dalam dewan:-
- Tarian
- Deklamasi Sajak
- Drama
- Nasyid
- Pertunjukan Fesyen
- Nyanyian Solo

Acara Kelas:-
Pertandingan Mewarna

Bulan Bahasa Kebangsaan




Bulan Oktober telah dijadikan sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan yang bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia dengan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.

1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara