Usah salahkan orang lain jika gagal


SETIAP orang pasti mengalami pengalaman menghadapi kegagalan. Tidak kiralah gagal dalam peperiksaan, gagal dalam bercinta atau gagal dalam pertandingan. Selalunya apabila gagal, kita pasti akan mencari pelbagai alasan.

Jika gagal dalam peperiksaan, kita mungkin mengatakan guru tidak pandai mengajar, cikgu tidak mahir subjek berkenaan, sekolah tidak bagus, ayah ibu tidak ambil peduli, peralatan belajar kurang dan pelbagai alasan lagi. Jarang kita mengatakan pada diri, 'memang aku malas belajar', atau 'memang aku tidak berusaha dari awal lagi', atau 'aku malas berusaha'. Memang sudah menjadi sifat semula jadi manusia, gemar mencari dan memberi alasan dalam setiap perkara. Kelemahan sendiri jarang pula dilihat, apatah lagi hendak mengakui punca kegagalan kerana kelemahan diri sendiri. Namun, mencari alasan tidak akan menyelesaikan masalah. Malah, memberi alasan bererti kita berusaha melindungi sebab sebenar sesuatu masalah itu.


Kita lebih selamat dengan menyalahkan pihak lain tetapi sebenarnya itu tidak membantu untuk memperbaiki diri sendiri.


Jangan pula menjadi seperti bangau dalam lagu 'Bangau Oh Bangau', meletakkan kesalahan pada si ikan yang tidak timbul apabila dirinya kurus, begitu juga si ikan yang meletakkan kesalahan pada pihak lain pula dan begitulah seterusnya, seolah-olah masing-masing tidak pernah buat salah, yang tahu hanya menyalahkan orang lain. Jelas, apabila seseorang itu sedar dirinya bermasalah atau masalah itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia akan berusaha keras untuk memperbaiki kelemahannya. Jika dia masih berbangga dengan keupayaannya mencari alasan, masalah tidak akan selesai. Allah juga ada mengingatkan hambanya bahawa sesuatu perkara itu tidak akan berubah sekiranya manusia itu sendiri tidak mahu berusaha mengubah dirinya. (Maksud surah Ar-Ra'd ayat 11). Berusahalah mengatasi kelemahan diri dengan cara positif. Jangan salahkan orang lain sebelum mencari kelemahan sendiri.


Orang lain mungkin bersalah tapi itu bukan alasan untuk kita terus gagal. Jika kita terjatuh di jalanan kerana tersepak batu, wajarkah kita menyalahkan batu kerana ada di situ, cuba renungkan mengapa orang lain yang melalui jalan itu tidak jatuh? Mengapa hanya kita? Mungkin kerana kita kurang berhati-hati atau terlebih cuai. Jadi, sewajarnya kita tidak mencari alasan untuk gagal atau mencari alasan apabila sudah gagal kerana setiap usaha keras dan keyakinan yang mantap terhadap diri sendiri akan membuahkan hasil setimpal. Masih belum terlambat untuk kita bermuhasabah diri atas setiap masalah dihadapi, mencari kelemahan dan kekurangan kita, agar dapat mencari titik permulaan untuk mengorak langkah ke arah kehidupan positif dan cemerlang.

Musibah ujian penghapus dosa

Ujian boleh datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Tabahlah menghadapinya

LUMRAH kehidupan manusia memang tidak dapat lari daripada menerima ujian.

Setiap ujian yang Allah timpakan kepada manusia mempunyai pelbagai hikmahnya. Allah menguji hamba-Nya dengan penyakit, bencana, kekurangan harta, kematian, kekayaan dan sebagainya untuk melihat sejauh mana tahap keimanan seseorang. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah menyayangi seseorang hamba-Nya, Allah menguji dengan kesusahan sama ada pada diri, keluarga, anak mahupun pada harta supaya dibersihkan daripada dosanya. Sekiranya dosa masih ada Allah akan membuatkan matinya menjadi susah supaya apabila bertemu Allah dalam keadaan tidak berdosa." Begitulah juga sebagai hamba apabila berhadapan dengan ujian dan musibah ia pasti mempunyai pengajaran untuk kebaikan manusia itu sendiri. Musibah yang didatangkan itu bertujuan keampunan daripada dosa. Allah begitu sayang kepada hamba-Nya melebihi dari kasih sayang yang diberikan oleh seorang ibu kepada anak.


Walaupun hamba-Nya banyak melakukan kemungkaran dan dosa tetapi Allah tetap memberi peluang untuk bertaubat. Maka nilai kesabaran dan reda ketika menerima ujian akan dinilai Allah sebagai penghapusan dosa.


Pada masa sama ada keterangan dan ayat yang menyatakan dosa menjadi penyebab datangnya bala. Kalau dilihat sejarah lampau, mengapakah Allah menimpakan azab kepada kaum Nabi Nuh? Pada ketika itu mereka ditimpa ujian banjir besar selama lebih enam bulan. Begitu juga dengan kaum Nabi Luth di mana Allah terbalikkan lapisan bawah bumi naik ke atas, manakala yang atas dibenamkan ke perut bumi. Malah kesannya sehingga kini masih dapat dilihat di Laut Mati, Jordan. Lihat pula kaum Aad dan Thamud mati terkapar terputus jantung mereka kerana terkejut bunyi gempita suara tempikan malaikat. Pernahkah kita membaca sejarah Qarun yang tenggelam bersama kekayaannya hinggakan membentuk satu tasik yang amat besar dengan airnya laksana lautan? Pantai yang bertentangan tidak kelihatan kerana luasnya. Begitu juga Firaun yang gah ingin merebut segala gelaran hinggakan mahu menjadi Tuhan. Akhirnya, dia bukan saja tenggelam keseorangan di dalam laut malah segala kekuasaan, tentera dan gelarannya juga turut sekali lemas. Di sana ada seribu satu cerita kehancuran yang boleh dipelajari. Semua peristiwa ini berpunca kerana dosa. Sayangnya Allah kepada hambanya ialah segala ditimpa kepada hambanya yang lemah ini, tetap ada kebaikan walaupun sekali imbas nampaknya amat memilukan. Mereka yang mendapat petunjuk menyedari hikmah di sebalik ujian.

Ujian ada dua jenis. Pertama namanya bala dan yang kedua ibtila. Ibtila adalah kepayahan dan bencana yang menimpa dalam bentuk 'ujian' manakala bala ialah bencana dan kesusahan ditimpa dalam bentuk 'hukuman'. Ibtila yang melanda selepas menderita kepayahan dan keperitan adalah hukuman kepada mereka yang ingkar. Maka kita perlu sentiasa mengingati setiap tragedi seperti kejadian gempa bumi itu sebagai muhasabah diri. Sama-sama kita bertaubat atas dosa silam yang pernah dilakukan. Keinsafan yang dikongsi di sini ialah kita tidak mempunyai kuasa, kita adalah insan lemah dan masih banyak lagi perkara yang 'ghaib' yang gagal dikesan oleh radar dan kecanggihan. Bukan saja tidak sempat bersedia untuk mengelak musibah malah ramalan kita juga tidak tentu tepat dan berkesan. Petanda awal muncul tidak sempat dibaca. Allah yang Maha Kuasa. Sebagai hamba amat malang jika kita hendak beradu kuasa dengan Allah. Allah amat penyayang. Namun, Allah sangat marah kepada yang ingkar dan tidak ikut petunjuk selepas diberi peringatan. Allah ada peraturan yang mesti diikuti. Kalau orang langgar peraturan jalan raya ada akibatnya, langgar peraturan kerja ada kesannya apatah lagi melanggar peraturan Allah. Hanya kepada Allah tempat kita kembali merayu kerana Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hamba-Nya. Disamping berdoa kita juga perlu berusaha keras menyelesaikan masalah yang dihadapi.


Sumber: Harian Metro

Selamat Berjuang... Murid Tahun 6 2010

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي . وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي . يَفْقَهُوا قَوْلِي

Maksudnya :

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; "Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; "Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, "Supaya mereka faham perkataanku".

==================================================================================================\=

Good Luck

Selamat menempuh perjuangan UPSR anda.
Semoga anda kental menghadapi ujian tersebut. Doa kami mengiringi perjuangan anda semua.





Cuti Perayaan

Perhatian kepada semua guru dan murid SK Pantai Besar, cuti sekolah sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini bermula pada 4 hingga 14 hb September 2010.
Persekolahan akan dibuka semula pada hari Rabu, 15 hb September 2010.

Semoga bergembira sepanjang cuti ini dan berhati-hati walau di mana jua anda berada.

Istimewa kepada murid Tahun 6, jangan lupa untuk mentelaah bagi persiapan peperiksaan UPSR yang tinggal beberapa hari lagi.